Andaian Mengarut Dalam Bisnes Printing

andaian-bisnes-printing“93% Perniagaan Gagal Dalam 3 Tahun Pertama.”

Banyak sudah kita dengar ungkapan seperti di atas. Dari mana asalnya pun tidak tahu. Namun kita tetap boleh ambil pengajaran daripadanya.

Maksud tersurat pada frasa ini adalah bisnes kita akan gagal dalam masa 3 tahun. Tetapi maksud tersiratnya pula, hanya 7% daripada statistik itu berjaya dalam masa 3 tahun.

Jadi semua orang berangan dan memasang impian untuk jadi 7% tu termasuklah kami. Tipu kalau anda tidak mahu berjaya.

Bila sebut bisnes, sama juga halnya dalam bisnes printing (cetak) baju. Tidak boleh lari daripada ungkapan di atas. Sebenarnya bukan tidak boleh berjaya dalam masa 3 tahun, banyak saja orang lain buat dan berjaya.

Bagi bisnes printing, banyak sangat andaian mengarut yang menyelaputi minda mereka yang berminat nak bermula. Semuanya janji manis, pencapaian manis seolah-olah nisbah 7% di atas boleh dicapai dengan begitu saja. Petik jari, kacang saja.

Berhenti, tarik nafas dan jangan gelojoh!

Artikel ini adalah perkongsian kami dalam dunia printing terutamanya printing baju dan printing cenderahati. Baru 2 tahun, jadi ilmu tidak banyak seperti otai-otai printing di luar sana yang kami sangat kagumi. Perkongsian yang tidak seberapa ini harapnya dapat memberi manfaat kepada yang berminat untuk buat bisnes printing.

Apa andaian mengarut tu? Jom baca:

1. Bisnes Printing Boleh Cepat Kaya

Selepas buat keputusan untuk buat bisnes printing baju, dalam kepala ingat duit sahaja. Dalam hati, bila sudah daftar agen, beli barang, buat Facebook, buat website dan tulis blog semuanya sudah siap.

Boleh duduk rehat. Boleh duduk diam sambil tunggu duit masuk. Tunggu order masuk. Tunggu pagi sampai petang sambung ke malam. Belum ada lagi yang telefon atau whatsapp. Duit sudah habis banyak beli itu ini.

Bang, bisnes printing bukan skim cepat kaya. Kena usaha lagi. Sebelum buat bisnes, ada kita buat kajian, selidik pasaran sudah berapa banyak syarikat ditubuhkan untuk bagi perkhidmatan cetak baju. Dapat maklumat, baru langkah seterusnya jadi lebih bijak.

2. Orang Biasa Pun Boleh Berjaya Dalam Bisnes Printing

Apa definisi orang biasa tu? Orang biasa tu kita saja pandang macam biasa tetapi usahanya luar biasa. Bukan duduk diam tunggu pelanggan. Mereka berusaha dan ada ilmu.

Sebab jika tiada ilmu dalam bisnes printing atau mana-mana bisnes pun, tidak ke mana. Ilmu pula ada banyak seperti ilmu jualan, ilmu pemasaran, ilmu kira-kira bisnes, ilmu kewangan, ilmu rakan bisnes (networking) dan sebagainya.

Jadi, kena ada ilmu dahulu. Berguru dengan otai printing baju, berguru dengan otai marketing, berguru dengan otai kira-kira, berguru dengan otai motivasi. Cari di internet, banyak sifu-sifu yang sedia curah ilmu. Ada percuma ada berbayar. Manfaatkan sebaik mungkin sebab ilmu mereka ni lebih bernilai dari jongkong emas.

3. Usaha Sikit, Tunggu, Pasti Dapat Hasil

Semangat mula-mula memang berkobar-kobar. Bawa motosikal, bawa kereta, makan nasi, buat itu ini semuanya terbayang bisnes printing. Makan bisnes, tidur bisnes. DNA bisnesnya memang sudah mula nak berkembang.

Lepas buat marketing sikit, buat blog sikit dan tunggu pelanggan. Malangnya tiada siapa yang call atau Whasapp bertanya. Kemudian, mula patah semangat dan putus asa.

Rupa-rupanya, baru setup blog dan website 1 minggu tapi harap hasil yang luar biasa. No such thing bro!

Semuanya perlukan masa. Ada proses yang perlu dilalui sama seperti kita lahir, adakah terus boleh berlari?

4. Beli Mesin Cetak Terbaik

Belum apa-apa sudah beli mesin cetak (heat press). Kosnya menelan lebih RM3000 untuk mesin cetak, pencetak (printer) dan pemotong (cutter). Dengan duit sebanyak tu pada permulaan bisnes, elok digunakan untuk pemasaran. Biar orang kenal dulu bisnes, biar ada untung dulu sebelum membeli benda yang tidak patut.

Apabila membeli mesin walaupun dengan tunai, pulangan atas pelaburan (Return on Investment) sangat lambat. Kadang-kadang sehingga 5 tahun belum pulang modal beli mesin. Bukankah rugi bagi kita yang baru nak merangkak dalam bisnes printing baju?

5. Anggap Pelanggan Tidak Kisah Siapa Kita

Sebab apa anggap begitu? Sebab ramai sudah berjaya dalam bisnes printing. Pasti pelanggan tidak kisah dengan siapa mereka berurusan. Salah!

Jika nak beli sesuatu barang, pelanggan perlu tahu siapa penjual, duduk mana, kedai di mana dan sebagainya.

Walaupun pelanggan sudah tahu harga tetapi mereka tetap nak WhatsApp. Agaknya sebab apa? Sebab mereka nak pengesahan dengan siapa mereka berurusan. Boleh percaya ke tidak dan sebagainya. Sebab dalam bisnes terutamanya online, paling utama adalah kepercayaan (trust).

Buatlah marketing hebat mana sekalipun, kalau pelanggan tidak percayakan kita. Mereka tidak akan membeli walau semurah mana kita jual. Sebab bagi mereka, duit yang dilaburkan perlu setimpal dengan nilai yang diterima.

Eh, bukankah kita pun pelanggan yang ada perasaan yang sama?

Sudahlah kut. Panjang pula perkongsian ini. Sudah seperti membebel tetapi itulah hakikatnya dalam bisnes cetak baju. Bukan senang nak senang.

Harap perkongsian kami ini dapat memberi sedikit idea untuk sama-sama kita betulkan yang biasa. Kemudian, kita sama-sama biasakan yang betul

Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!

ZAINI

018-2122510

Kongsikan artikel untuk manfaat bersama:

8 Comments

  1. Assalamualaikum Tn Zaini, satu perkongsian maklumat yang sangat bermanfaat. Semua ciri-ciri yang disebutkan adalah terpakai kepada saya walaupun saya bukan dalam bisnes percetakan.

    Saya doakan agar bisnes Tn Zaini sentiasa berkembang maju dan ke hadapan, In Shaa Allah.

    Tkasih
    Zamree
    Warih Homestay
    Zamree recently posted…Warih Homestay – Meh Makan Festival 2016My Profile

    • Mohd Zaini

      Waalaikumussalam Tuan Zamre,

      Terima kasih tuan. Saya juga doakan bisnes Warih Homestay tuan terus berjaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge